Sunday, April 19, 2015

Pengembaraan Ke Tokyo, Jepun (1)



Assallamuallaikum,

Cerita dari Nepal pun tak habis nak tulis lagi, saya sudah kongsi entry baru dari Jepun pula. Saya ke Jepun pada April 2015. Pengembaraan yang mengambil masa 6 hari 5 malam. Saya cuba untuk tulis semampunya, masih banyak hal lain perlu diselesaikan selain penyakit malas yang tak pandai nak siap-siap.

Saya tidak teruja sebenarnya ke negara super maju. Saya sudah pernah berada di tempat yang mundur, separa mundur dan maju seperti Jepun. Tetapi bila balik semula ke Malaysia, saya sedar, saya perlu lebih banyak mengembara. Hahaha!

Seperti yang orang laungkan, Jepun memang sebuah negara yang hebat. Malaysia sudah mempunyai acuan mini seperti Jepun, cuma bezanya pada nilai kemanusiaan dalam kehidupan. Walaupun masih jauh untuk mencontohi Jepun, kita mesti selalu mencuba untuk memperbaiki kehidupan masing-masing. Mengembara ke Tokyo selama 6 hari adalah terlalu singkat.

Saya sudah berjumpa dengan Sakura yang cantik. Sayu rasa melihat kecantikan mereka. Sakura seperti seorang perempuan yang kuat jiwanya. Cantik dalamannya, dan luarannya dikagumi oleh semua orang. Sakura berdiri di mana-mana, menjadi lambang kecintaan rakyat Jepun kepada kecantikannya. Tiba masanya, Sakura berbunga cantik. Manusia akan duduk di bawah pepohon, menyambut kedatangan Sakura bersama sanak saudara dan teman-teman.

Saya disambut Sakura begitu 'meriah'. Ketika itu, angin dari Lautan Pasifik berhembus begitu kuat. Terima kasih udara yang bersih di Kota Tokyo. Taman Ueno, tidak dapat saya jajahi sekelilingnya. Kata teman, ada taman haiwan di dalamnya. Masa yang diberi cuma 2 jam, Taman Ueno adalah sangat luas untuk pengembara kecil macam saya. Nanti kita berjumpa lagi. Saya terpesona melihat Sakura di mana-mana, di ceruk kota atau di ceruk gunung dia tetap cantik. 

Saya tinggalkan Sakura dengan rasa hati sebenarnya. Nanti saya sambung cerita bila tiba masanya.