Thursday, October 31, 2013

Janji Taukeh.

Ada sebuah kedai kopi, lebih kurang terletak di simpang tiga dari 3 buah kampung. Pagi itu, kebetulan 3 orang ketua kampung duduk bersemeja sambil minum kopi dan makan ubi rebus. Pada jam 10 pagi nanti, mereka ada mesyuarat dengan wakil dari pejabat daerah.

‘Saya penyokong kuat kerajaan! Saya yakin sama kerajaan yang sedang memerintah. Minta zing, dapat zing. Minta tangki dapat tangki. Walaupun 5 tahun sekali pun kami sudah cukup bersyukur!’ kata Ketua Kampung,  Kampung Selatan.

‘Ahhh! Macai kerajaan. Baru dapat tangki, zing, sudah bersyukur paling tinggi. Saya ni nama saja dilantik jadi ketua kampung oleh kerajaan, tetapi saya tidak pernah mahu menyokong kerajaan.  Apa dia bagi, kami ambil. Itu undi rahsia. Mana ada tawar duit, kami pergi ambil. Siapa tidak mahu duit percuma? Itu semua duit rakyat!’ balas Ketua Kampung,  Kampung Barat.

‘Sudah 50 tahun, itu jalan 3 simpang masih pakai tanah merah. Anak-anak kita ada sudah masuk universiti. Saya dan kamu ada 3 orang anak di universiti. Harap bila mereka keluar mereka boleh lakukan sesuatu untuk kampung kita. Kita sudah tua, tapi jalan tanah merah masih belum berubah.’ Ketua Kampung, Kampung Utara membalas ringkas. Ketiga-tiga pasang mata melihat 3 buah jalan di hadapan kedai kopi tersebut.

‘Biasalah tok ketua semua, ini politik mana ada yang bagus. Saya tidak kisah siapa yang memerintah. Janji saya masih terus berniaga. Tuan penghulu semua dan orang kampung masih sudi datang ke kedai kopi saya.’ Kata pemilik Kedai Kopi Simpang Tiga.

‘Kau mesti peduli apa yang berlaku di sekeliling kita taukeh. Ini gula naik, minyak naik, semua naik. Saya mahu kahwin lagi satu pun tidak dapat. Phuiii! Bukan main itu perempuan demand mau buat besar-besaran. Nasib bini saya, dia punya mama bapak kaya. Kalau harap jawatan ketua kampung saya ni, menang gaya sajalah.’ Balas Ketua Kampung, Kampung Selatan.

‘Saya sudah ajar anak-anak buah saya, itu geng-geng diorang sana bandar tetap mahu tuntut Perkara 20. Perjuangan tetap diteruskan. Kami yakin perubahan besar. Anak saya pun, sudah saya pesan untuk sama-sama berjuang kelak!’ Ketua Ketua,  Kampung Selatan memesan lagi segelas kopi Kedai Kopi Simpang Tiga. Taukeh Kedai ke dapur melihat-lihat pekerjanya. Pengunjung makin ramai.

‘Malas saya. Saya rasa saya kena ubah style saya menjaga kampung saya. Tidak tahan saya service kereta hilux saya tu ribu-ribu sekali ejas. Ini jalan tanah merah bikin panas. Kalau masa hujan, tiada-tiada tu hilux. Bagus kasi bersadai di rumah daripada rosak.’ Jawap Ketua Kampung, Kampung Utara.

‘Saya ada cadangan ala-ala permainan. Siapa menang, saya sanggup bagi hasil 5 petak sawah sama Ketua Kampung yang menang selama satu musim.’ Cadang Taukeh Kedai Kopi Simpang Tiga. Apa dia?, sahut Ketua Kampung, Kampung Utara.

Kita ada 1 bulan lagi sebelum pergi mengundi pilihanraya umum.  Saya ada kenalan Kilang Batu Kerikil di daerah sebelah. Saya cadang anak-anak kampung dari kampung-kampung tuan semua bina jalan batu kerikil. Setiap hari saya akan panggil lori berisi batu kerikil untuk datang ke sini. Anak-anak kampung boleh mengambil batu kerikil tersebut dan tabur atas jalan tanah merah kampung tuan-tuan. Siapa yang paling awal siap dan cantik, saya sedia tawar hadiah seperti yang saya janji.

‘Apalah sangat 5petak sawah?? Ini kita mahu pilihanraya, orang politik akan datang bagi janji. Nanti lepas menang, pasti janji ditunaikan. Buang masa saja rancangan kau ni, taukeh. Tak begitu Ketua Kampung Selatan?’

‘Betul tu Ketua Kampung Barat. Tapi belum tentu janji ditunaikan. Apa saja wakil politik bagi, kita ambil. Tak kiralah mana-mana wakil kan? Ini kalilah Pesta Pilihanraya. 5 tahun sekali saja.’ Balas Ketua Kampung Selatan.

‘Saya setuju dengan cadangan taukeh. Demi hilux saya, saya sahut cadangan ini. Lagipun offer 5 petak sawah itu sangat bagus. Kampung saya tidak ramai bersawah. Ini kampung Barat dan Selatan tak hairanlah, kampung kamu subur. Sekarang musim penghujan, nanti pergi mengundi payah dengan jalan tanah merah.’

Akhirnya ketiga-tiga ketua kampung bersetuju. Pada minggu pertama, anak-anak buah kampung masing-masing begitu bersungguh-sungguh.  Jarak masing-masing ke simpang tiga itu ialah 2 kilometer. Tetapi hujan kerap turun pada sebelah petang.  Bila hujan sudah turun, masing-masing akan balik ke rumah. Ada juga yang datang ke Kedai Kopi Simpang Tiga untuk makan minum. Masuk minggu ketiga, ketua kampung Barat dan Selatan sibuk ke sana ke mari untuk ikut badan-badan politik berpolitik. Ketua Kampung Utara tidak berapa sihat tapi masih memantau anak-anak buahnya menyiapkan jalan kerikil  yang masih berbaki  800 meter. Tenaga kerjanya tidak ramai seperti kampung sebelah. Akhirnya hari mengundi pilihanraya pun tiba, maka berakhirlah pertandingan membina jalan kerikil di antara ketiga-tiga ketua kampung tersebut.

Kampung Selatan dan Barat tidak dapat menghabiskan usaha mereka, masih berbaki 1kilometer. Anak-anak kampung mereka ramai yang pergi bekerja bersama parti politik semasa 2 minggu akhir sebelum pilihanraya. Ketua Kampung Utara senyum simpul, kerana kampungnya telah berjaya memenangi pertandingan ini.

‘Walaupun saya yang menang ini pertandingan, tetapi siksa juga saya menumpang kereta jenama Kancil anak saya pergi mengundi minggu lepas. Hilux saya tiba-tiba meragam. Mujurlah jalan sudah bagus, kalau tidak, mungkin cepat saya bongkok tiga.’ Ketua Kampung, Kampung Utara menyedut kirai sambil memandang jauh ke hadapan Kedai Kopi Simpang Tiga itu. Dia bangga dapat menyiapkan jalan kerikil tersebut bersama anak-anak buahnya. Jalan masuk ke kampung sebelahnya, masih bertanah merah. Dia memerhati pelanggan kedai kopi itu. Ah, yang kakinya berselut tanah merah atau tayar keretanya juga berselut merah sudah pasti kampung sebelah. Dia memerhati pengunjung yang lain, sederhana saja kotornya. Sudah pastilah mereka ialah anak-anak buah aku.

‘Abang, bila masa kita ada petak sawah?’ Bisik isteri taukeh Kedai Kopi Simpang Tiga kepada suaminya.

‘Shhh. Kau diam saja. Saya dah hutang 50% berguni-guni beras dari kampung sebelah. Ingatkan tok ketua yang seorang ni tak mampu nak siapkan. Kita memang tak ada sawah pun, tapi kita ada akal. Lagipun pendapatan kedai kopi kita makin bertambah. Emas kau dah bertambah. Tengoklah masa proses buat jalan tu, tak menang tangan kita.’


No comments: